Dari Meja Presiden AISMM


Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan Salam Sejahtera.


Alhamdulillah, marilah kita bersyukur kepada Allah s.w.t kerana atas limpah kurnia dan rahmatNya, kita dapat mengadakan Majlis Pelancaran Akademi Sains Ilmuan Malaysia (AISMM) pada kali ini.

AISMM merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang akan bekerjasama dengan agensi kerajaan yang berurusan terus dengan aktiviti pembelajaran dan pengajaran di universiti bagi meningkatkan pencapaian dan memastikan kurikulum yang diguna pakai di negara ini setanding dengan di peringkat antarabangsa.

Matlamat penubuhan AISMM adalah untuk mengurus dan meningkatkan aktiviti penyelidikan sains matematik agar minat orang ramai terhadap bidang sains matematik dapat dipupuk, memperluas jaringan dan mempergiat kerjasama akademik dan industri hingga ke peringkat antarabangsa serta menjadi badan rujukan dan entiti penting kepada kerajaan, industri dan masyarakat dalam hal-hal berkaitan sains matematik. Di samping itu, penubuhan akademi ini juga diharapkan dapat memberi pandangan dan menjaga kepentingan hal-hal yang mempunyai kesan langsung atau tidak langsung terhadap perkembangan ilmu serta kebajikan komuniti ahli sains matematik dan seterusnya meningkatkan kesedaran dan mendapat pengiktirafan masyarakat tentang kepentingan dan kegunaan sains matematik dalam kehidupan dan lain-lain.

Selain daripada itu, Malaysia telah terpilih untuk menjayakan Mathematics of Planet Earth (MPE) bagi tahun 2013. Pelbagai program perlu dirancang dan dilaksanakan sepanjang tahun tahun 2013 sebagai memberikan kesedaran kepada semua lapisan masyarakat tentang kepentingan ilmu matematik. Dengan penganjuran MPE 2013 ini, ianya akan meletakkan nama Malaysia di peta dunia dan mewujudkan rangkaian di peringkat antarabangsa dalam bidang sains matematik secara bersepadu dan progresif. Sehubungan itu, pihak Akademi mengalu-alukan setiap IPTA untuk menyenaraikan sebarang aktiviti akademik berunsurkan sains matematik untuk dimajukan kepada pihak sekretariat MPE 2013.

Akhir kata, saya mengharapkan agar penubuhan Akademi ini dapat dimanfaatkan oleh semua ilmuan sains matematik di negara ini dan inputnya dapat disalurkan kepada masyarakat ke arah kecemerlangan ilmu sains matematik di Malaysia. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam Majlis Pelancaran Akademi Ilmuan Sains Matematik Malaysia ini dan syabas diucapkan kepada ahli jawatankuasa yang bertungkus-lumus dalam menjayakan majlis ini.

Sekian, terima kasih.